Khamis, 20 Mac 2008


Photobucket

PERTANDINGAN KAWAD KAKI PASUKAN KADET POLIS IPDJBS




PERHIMPUNAN SEMPENA PERINGATAN HARI POLIS KE-201
PULAPOL Kuala Lumpur - 25 Mac 2008. Perhimpunan Sempena Peringatan Hari Polis Ke-201 Tahun 2008 telah di adakan di Dataran Kawat, PULAPOL Kuala Lumpur.

Tetamu Kehormat yang hadir ialah YAB Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia, YB Dato' Seri Syed Hamid Albar bin Tan Sri Syed Jaafar Albar, Menteri Dalam Negeri dan YBhg. Datin Seri Sharifah Aziah binti Syed Zainal Abidin. Hadir sama ialah YB Dato' Chor Chee Heung, Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB Senator Dato' Wan Ahmad Farid bin Wan Salleh, Timbalan Menteri Dalam Negeri dan YBhg. Tan Sri Abdul Aziz bin Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri.

Hadir sama di majlis tersebut ialah YDH IG Tan Sri Musa bin Dato' Haji Hassan, Ketua Polis Negara dan YBhg. Puan Sri Juriah binti Dato' Ahmad, YDH DIG Dato' Ismail bin Haji Omar, Timbalan Ketua Polis Negara dan YBhg. Datin Suriati binti Md. Sobri, YDH Pengarah-Pengarah Jabatan PDRM dan isteri, YDH Ketua-Ketua Polis Negeri, dif-dif jemputan, Ketua-ketua Jabatan Kerajaan dan swasta serta Pegawai-pegawai Kanan PDRM.
Perhimpunan yang berlangsung pada pagi ini bukan sahaja bagi memperingati dan mengenang kembali tanggal keramat 25 Mac 1807, yang telah melahirkan sebuah Pasukan Polis moden di negara ini, tetapi juga untuk memperbaharui lafaz ikrar oleh seluruh peringkat pegawai dan anggota PDRM, untuk terus setia dan komited berkhidmat kepada masyarakat dan negara ini.
Sempena Sambutan Hari Polis Ke-201, Polis Diraja Malaysia memperkenalkan tema baru iaitu TEGAS, ADIL dan BERHEMAH, seiring dengan perkembangan dan keperluan PDRM pada waktu ini, dalam usaha memastikan PDRM sentiasa memperbaiki dan mempertingkatkan integriti diri.

Pasukan Polis hendaklah tegas dalam menjalankan tugas agar lebih efisien dan dihormati. Tegas di sini tidak semestinya menggunakan kekerasan tetapi teguh dan komited dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Sebagai pengaman (safe/peace) dan penjaga keselamatan (secure) yang menguatkuasakan (enforce) kedaulatan undang-undang tubuh kerajaan memerintah dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, setiap pegawai dan anggota pasukan adalah terdedah kepada persekitaran tugas setempat dan kepelbagaian jenis masyarakat yang perlu dilayan, dikawal atau diawasi sepanjang masa.

Mengambil semangat yang terkandung dalam etika perkhidmatan pasukan serta memperakui harapan setiap insan dan lapisan masyarakat baik dalaman dan luar negara untuk mempunyai pasukan polis yang profesional, maka Sikap Tegas adalah sikap yang wajib dimiliki, diperlihatkan dan diamalkan oleh semua. Ia diasaskan kepada pengetahuan yang mendalam akan sumber kanun Perundangan bagi memantapkan keyakinan dalam membuat keputusan setelah menimbangkan keadaan sesuatu peristiwa dan kes. Ia diperkukuhkan dengan pengalaman pasukan dan kepimpinan sepanjang tugasan.

Adil pula menuntut agar pelaksanaan tugas polis mestilah adil kepada semua pihak. Sebagai sebuah institusi yang wujud dari kesepakatan tiga paksi sebuah negara iaitu legislatif, eksekutif dan judisiari yang membentuk sebuah kerajaan, mempunyai sifat adil adalah satu nilai murni yang mewarisi tonggak-tonggak etika dan integriti sejak zaman berzaman. ia menjadi kata kunci kepada semua niat, buah fikiran, perilaku perbuatan dan tindakan berterusan semua pemimpin dan anggota pasukan.

Ia mengambil gerak kerja yang telus kerana setiap tujuan siasatan, pencegahan dan gerakan difokuskan bagi mencapai sabitan kes yang dihakimi secara saksama, mengambilkira segala butiran bukti, perakuan sukarela pihak berkaitan dan kebenarannya.

Sikap Tegas dan bersifat Adil yang difahami benar dan diamalkan sentiasa akan menghasilkan diri peribadi dan susunan struktur institusi pasukan polis yang beradab iaitu yang saling menghormati dan mempercayai, mengambil berat sesuatu perkara dan semua manusia yang mempunyai interaksi atau hadir dalam ruang tugas rasmi.

Tabiat Berhemah para pegawai dan anggota pasukan ini membolehkan persepsi masyarakat dapat dihargai dan diperakui sebagai satu petanda ukuran kecekapan dan keberkesanan setiap tindakan dan keputusan. Ia akan membentuk anggota polis yang jujur dengan realiti semasa dan kemungkinan masa depan yang berubah. Ia juga boleh menjadi sumber rasa bangga berkhidmat sebagai warga PDRM.

YDH Ketua Polis Negara juga menyeru kepada semua warga PDRM untuk menyelami maksud tema tersebut supaya ianya boleh dihayati untuk memperbaiki diri masing-masing sebagai langkah pertama ke arah meningkatkan prestasi, kemantapan dan kewibawaan pasukan polis secara menyeluruh.

Dikesempatan ini juga, YDH Ketua Polis Negara merakamkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia, di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia yang sangat prihatin dan mengambil berat terhadap kebajikan dan kemajuan PDRM di mana kerajaan telah menyediakan peruntukkan yang sangat besar kepada PDRM, dengan menyediakan kemudahan fizikal, infastruktur dan kemudahan-kemudahan lain.

Tidak lupa juga, YDH Ketua Polis Negara mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang selama ini telah banyak membantu dan memberikan kerjasama kepada PDRM dalam menangani sebarang ancaman yang boleh menganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan negara.

Di majlis Perhimpunan Sempena Peringatan Hari Polis Ke-201, selain upacara melafaz ikrar, diadakan juga upacara Penyampaian Anugerah kepada pegawai, anggota dan kakitangan awam yang telah memberikan perkhidmatan yang cemerlang serta Balai Polis Contoh. Selain itu juga diadakan upacara Penyampaian Plak 'Friends Of The Police', pemakaian lencana 'Integriti Amalan Kita' yang mengantikan lencana 'Saya Anti Rasuah', memperagakan seragam 'Operasi' baru untuk anggota Tugas Am dan upacara Penyampaian Pensijilan MS ISO 9001:2000

Photobucket
YAB Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia memberi tabik hormat kepada Kawalan Kehormatan Sempena Peringatan Hari Polis Ke 201 Tahun di Dataran Kawat PULAPOL Kuala Lumpur. Turut hadir YB Dato' Seri Syed Hamid Albar bin Tan Sri Syed Jaafar Albar, Menteri Dalam Negeri dan YDH IG Tan Sri Musa bin Dato' Haji Hassan

Photobucket
Berdiri megah... barisan Kawalan Kehormatan dan Detachmen berdiri megah di Perhimpunan Sempena Peringatan Hari Polis Ke 201 Tahun. Seramai 1803 orang terlibat didalam perhimpunan ini.